Cara Mudah Tanam Sayur Menggunakan Sistem Fertigasi Meja

Asas fertigasi adalah pemberian air dan baja secara serentak terus ke pangkal pokok. Baja yang diberi adalah baja lengkap yang merangkumi kesemua 17 unsur yang diperlukan tanaman. Sistem fertigasi meja merupakan konsep tanaman yang baru diperkenalkan dan popular dikalangan penanam sayuran berdaun.

Tanam sayuran berdaun seperti sawi, salad, kalian, kangkung sangat mudah dan boleh menjana pendapatan yang agak lumayan menggunakan sistem fertigasi meja.

Aktiviti Persiapan Tapak Meja Fertigasi

Pertama, basuh dan gemburkan media cocopeat menggunakan air bersih. Dalam masa yang sama, buang akar dan pangkal pokok sayur yang lama dari media untuk mengelakkan dari risiko penyakit terutama jika tanaman musim lepas telah dijangkiti oleh penyakit kulat.

Media cocopeat yang dah digunakan berulang kali sebaiknya dicampurkan dengan baja organik seperti combobac dan hormon penggalak akar. Tujuannya adalah untuk memperbaiki tekstur media cocopeat serta membekalkan nutrien dalam cocopeat.

Kedua, bina batas tanaman dengan ketinggian 4 inci dan lebar batas 4 inci. Setelah selesai, batas tersebut disiram sehingga basah menggunakan sprinkler. Jika tiada sistem sprinkler, boleh juga lembapkan dahulu media cocopeat sebelum dibuat batas tanaman. Pada hari anak pokok hendak dipindahkan, pastikan media cocopeat berada dalam keadaan lembap dan sistem pengairan berjalan dengan baik.  

Ketiga, buat lubang tanaman di atas batas dengan jarak 7-8 inci bagi setiap lubang. Jarak tanaman ini penting supaya pokok dapat membesar dengan baik dan mempunyai ruang untuk mendapatkan cahaya matahari, air dan baja dengan secukupnya.

Tuaian Hasil Sayur

Sayur berdaun yang ditanam secara fertigasi meja boleh dituai hasil mengikut tempoh matang. Tempoh matang sayur boleh dikira berdasarkan berat sepokok atau tarikh tanaman bermula dari peringkat semaian atau peringkat pindahan anak pokok ke tapak meja. Waktu tuaian hasil sayur yang baik adalah dilakukan di awal pagi ataupun lewat petang bagi mengelakkan sayur menjadi layu Ketika cuaca panas.

Sawi / kalian

28 hari

Kangkung

20 hari

Salad

40 hari

Sekian, terima kasih dan selamat mencuba teknik fertigasi meja ini.

Leave a Comment

Your email address will not be published.

Scroll to Top